Friday, June 3, 2011

RENTETAN KRONOLOGI DAN FAKTA : DR ZAMBRY & CERITA BURUNG DI PERAK


HASIL TAJUK DALAM BEBERAPA BLOG TERUTAMA BLOGGERS PERAK MENGUPAS NUKILAN SAUDARA YUSOF HARUN YANG SEPATUTNYA MENJADI IKTIBAR SEJARAH NEGERI PERAK DALAM KEADAAN HURU HARA DAN KEMBALINYA AMAN USAHA GIGIH BAGI PEMUTIHAN KEMBALI PERAK DARULRIDZUAN DIAMAN DAN DISEJAHTERAKAN KEMBALI.
TOPAN ALAM MEMAPARKAN KEMBALI TULISAN BELIAU DI AKHBAR SINAR HARIAN PADA 2.6. 2011 YANG LALU EDISI NEGERI PERAK UNTUK SEMUA YANG TERTINGGAL DAPATKAN NSAKAH PADA TARIKH TERSEBUT, MARILAH KITA TELITI DAN IMBAS KEMBALI DETIK HITAM SEHINGGA PERAK KEMBALI AMAN DAN MAJU.
BEBERAPA KUPASAN BLOGGERS TERUTAM DI NEGERI PERAK JUGA BOLEH DIKONGSI,TOPAN MELETAKAN SENARAI DAN LINK KEBLOG-BLOG YANG TESENARAI : (KLIK PADA NAMA UNTUK SINGGAH KEBLOG YANG DIKEHENDAKI

1.SEKUPANGDUA
2.PENYAIR GUNUNG
3.ANGIN PAK TAM
4.BUDAK BENTENG
5. PERGHH KIRI KANAN

Dr Zambry & cerita burung di Perak
- YUSOF HARUN


Bagi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, laluan kerjayanya tidak semudah meniup lilin atau menghitung burung di atas dahan. Beliau tidak mampu menggamit burung turun dari pepohon berbanding sesetengah pemimpin pembangkang mampu menghentikan sekawan burung di udara apabila mereka berceramah.

Itu cerita burunglah. Setinggi mana sekalipun melebarkan sayap ke udara, jika terkena perangkap, jatuh juga ke bumi dan boleh terpenjara. Cerita politik, dan lebih-lebih cerita pemimpin yang bertanggungjawab kepada negeri dan rakyat yang dipimpinnya, bukanlah semudah memberi makan burung merpati atau macam menembak gagak liar.

Kisah Pakatan Rakyat (PR) di Perak adalah ibarat kisah tiga ekor burung yang tiba-tiba lari meninggalkan sangkar. Maka malang sungguhlah nasib tuannya. Nak dipipiskan lada pun sudah tidak berguna lagi. Tidak ada tanda-tanda ia akan kembali ke dalam sangkar, sehebat mana sekalipun pemimpin PR pakar dalam selok-belok menggamit burung.

PR sempat bertahan selama 11 bulan. Menteri Besarnya, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dari PAS kemudiannya terpaksa meninggalkan kediaman rasmi di pinggir Bandaraya Ipoh bagi memberi laluan kepada penggantinya.

Zambry ialah MB ke 11. Macam ada sesuatu mengenai angka 11 di Perak ini. Apapun ‘11’ adalah angka kegemaran Perdana Menteri. Mungkin hal ini menyebabkan satu-satunya MB berijazah kedoktoran dari Amerika Syarikat ini turut menjadi pilihan Datuk Seri Najib Razak pula.

Penyokong PR mendakwa mereka dijatuhkan secara ‘haram’ ataupun cara tidak demokratik. Mereka mendakwa hak rakyat yang mengundi mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 telah dirampas. Sekadar untuk berhujah, dakwaan itu bolehlah dijadikan asas. Tetapi hakikat lebih pahit ialah terdapat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat keluar PR.

Dari sudut moral, ia boleh dipertikaikan tapi yang nyata dalam konteks demokrasi, ia sah. Ketiga-tiga ADUN ini mengisytiharkan sebagai ADUN bebas daripada terus memihak kepada PR yang mereka dakwa perjuangannya tidak selari dengan aspirasi perjuangan rakyat.

Telah diakui umum walaupun dilihat berat sebelah, namun apabila parti yang memerintah hilang majoriti, maka parti alternatif yang menguasai Dewan Negeri boleh ditawar peluang membentuk kerajaan. Dalam hal ini ada persamaan dengan projek 16 September tapi bezanya ahli-ahli parlimen BN tidak termakan umpan PR untuk menubuhkan kerajaan baru secara pintu belakang.

Dakwaan konon adanya campur tangan Sultan Perak adalah tidak benar kerana baginda hanya menjalankan kuasa seperti yang termaktub dalam undang-undang. Hasilnya setelah melihat bukti 31 ADUN yang menandatangani surat menyokong BN, baginda membenarkan Zambry membentuk kerajaan dan menjadi Menteri Besar ke-11. Baginda tidak mengguna cara lama macam cerita zaman dulu, dengan menggunakan kaedah menyabung ayam atau adu kekuatan.

Dari aspek lain, agak ironi apabila pengganti Nizar ialah ADUN bersebelahan dengan kawasannya. Sementara Nizar ialah ADUN Pasir Panjang dan Zambry pula ADUN Pangkor. Kedua-dua DUN ini sekadar dipisahkan oleh kebiruan air laut yang tenang.

Bagi Zambry, laluannya ke pejabat Menteri Besar bukanlah pelayaran di laut tenang. Seperti dijangkakan, gelora sedia menanti. Beliau hampir terhalang dari mengangkat sumpah jawatan pada 6 Februari, 2009. Walaupun proses pelantikan dapat berjalan lancar, krisis MB Perak berlarutan sehingga terpaksa dirujuk kepada mahkamah.

Agak sedih tiba-tiba kita lihat kuasa sultan dalam menentukan pelantikan seorang Menteri Besar terpaksa diputuskan oleh mahkamah. Akhirnya hakim mahkamah pada 22 Mei 2009 memutuskan Zambry adalah Menteri Besar yang sah sejajar dengan Artikel 16(2) perlembagaan negeri Perak.

Kini, setelah hampir dua tahun setengah menjadi MB dan walaupun tempoh itu jauh dari mencukupi, Zambry telah menggunakan setiap ruang masa yang ada bagi memastikan Perak pada keseluruhannya bertukar menjadi negeri lebih maju. Walaupun di sebalik gangguan politik dari pembangkang, nampaknya anjakan kemajuan di Perak jauh lebih baik berbanding bot lembab di Kelantan dan Kedah.

Justeru tidak hairan apabila kini semakin ramai rakyat Perak menaruh harapan agar Zambry tidak menjadi “one-term” MB. Rekodnya membuktikan banyak pencapaian besar. Namun ini tidak bermakna PR tidak lagi memasang angan-angan untuk memerintah.

Persoalannya ialah siapa bakal MB jika PR kembali berkuasa? Nizar yang kini berstatus selebriti mungkin dicalonkan semula sebagai MB tetapi apakah pihak lstana, dan PAS sendiri, mengambil kira rekod tempohari akan ‘mengOKkannya’?

DAP dilihat bernada kompromi, namun kenyataan Lim Kit Siang bahawa parti itu akan meletakan calon Melayu bertanding menimbul berbagai tafsiran. Ini kerana menyedari calon Cina tidak boleh menjadi MB, DAP memerlukan calon Melayu bagi memastikan ia tidak langsung bergantung kepada PAS.

Pada masa kedua-dua parti ini memperlihatkan silat catur, Zambry langsung tidak mempedulikan permainan politik mereka. Minatnya sekadar bekerja dan baru-baru ini MB ke-11 itu memberikan berita gembira dengan mengumumkan projek mega bernilai RM9 bilion iaitu pembinaan kilang memproses bijih besi. Sekali gus seperti menerima syor mantan Perdana Menteri yang mahu kilang seumpama ini dibina sejajar dengan konsep perindustrian yang menjadi “trademark” Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi PM.

Mungkin ini sedikit menjejaskan ekologi dan alam sekitar serta melibatkan pengambilan tanah rakyat, namun setiap kesenangan harus ada sikit pengorbanan. Pengambilan padang golf 18 lubang, tanah kampung, kubur dan kemungkinan mengganggu kawasan nelayan berteduh dan pangkalan laut TLDM dilihat sebagai contoh.

Bagi warga ibu kota, mereka menganggap projek ini merugikan. Namun bagi penduduk di kawasan ini adalah harapan masa depan. Dalam konteks inilah, setidak-tidaknya semakin Perak memasuki fasa pembangunan pesat, Sultan Perak yang dicemuh kerana memperkenankan pelantikan Zambry berpuas hati prestasi MBnya.

Bagi rakyat, kekerapan Tuanku turun padang dalam setiap program kerajaan satu petanda baginda “happy” dengan stail dan corak tadbir MB. Rakyat tentu teruja apabila baginda perkenan menganugerahkan Zambry dengan pingat yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja sempena hari keputeraan baginda April lalu.

Nampaknya setelah hampir dua tahun setengah, apa yang berlaku ialah jika ibarat orang bertanding suara merbuk, maka suara harapan lunak Zambry menembusi seluruh Perak, sedangkan suara merbuk lama semakin hilang di bawa angin dan berkemungkinan lenyap ditelan laut.